Tuesday, January 20, 2009

PR Kampus 2008/09


KUALA LUMPUR: Pilihan raya kampus (PRK) yang berlangsung semalam di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.PRK yang diadakan bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2008/2009 di dua universiti berkenaan berlangsung tanpa sebarang masalah walaupun sebelum ini berlaku sedikit kekecohan pada hari penamaan calon.Menurut jurucakap Unit Perhubungan Media UM, walaupun pada hari penamaan calon berlaku sedikit kekecohan, namun pada hari membuang undi segalanya berjalan lancar.“Tiada sebarang kejadian atau kekecohan berlaku serta proses membuang undi yang diadakan di kolej kediaman dan Dewan Tunku Canselor berjalan lancar,” katanya.

Sebanyak 41 kerusi dipertandingkan bagi PRK kali ini dengan sembilan daripadanya adalah kerusi umum.

Sementara itu, di UPM proses membuang undi berjalan seperti yang dijadualkan walaupun pada Khamis lalu wakil pelajar dari pergerakan Pro-Mahasiswa mendesak pentadbiran menangguh hari membuang undi.Ini berikutan mereka mendakwa tempoh yang diberikan untuk menjalankan kempen terlalu singkat dan pelajar dari jurusan Perubatan tidak berpeluang bertanding kerana masih bercuti.
Dalam pada itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sepatutnya menjalankan proses membuang undi semalam terpaksa menangguhkannya pada Khamis ini berikutan pelajar diberikan cuti mengejut Jumaat lalu kerana masalah bekalan air.Berikutan itu, proses penamaan calon diadakan semalam dan pelajar menjalankan tanggungjawab memilih ahli MPP Khamis ini.
Sebanyak 29 kerusi dipertandingkan di UIAM membabitkan lima kerusi umum dari 24 fakulti dengan proses penamaan calon bermula jam 8.30 pagi.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PRK yang dijalankan pada 15 Januari lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada barisan pro-Aspirasi yang membolot sekurang-kurangnya 20 daripada 34 kerusi yang dipertandingkan.Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumninya, Profesor Datuk Dr Mohamad Abd Razak, ketika mengumumkan keputusan pilihan raya itu, berkata barisan Pro-Mahasiswa memiliki 13 kerusi dengan tiga daripadanya menang tanpa bertanding.Mengulas mengenai PRK yang dijalankan, beliau menegaskan tiada sebarang kontroversi berlaku dan proses membuang undi di UKM berjalan lancar.“Terdapat sedikit insiden kecil, namun ia tidak mengakibatkan ketidakstabilan,” katanya.Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata semua IPTA diberi kebebasan menentukan tarikh pilihan raya kampus masing-masing bagi memilih ahli MPP sesi 2008/2009 berikutan kekangan termasuk pelajar berdepan minggu peperiksaan dan apungan (ulang kaji) yang menyebabkan pemilihan itu tidak dapat dijalankan serentak.
Sebanyak 10 IPTA mengadakan pemilihan MPP sesi 2008/2009 pada Oktober hingga Disember tahun lalu, iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Darul Iman Malaysia serta Universiti Malaysia Kelantan.
aisyahumaira : huhu semester ni tak berpeluang nak undi pilihan raya kampus T_T..

0 Respon Anda?: