Assalammua'laikum wrh wbt.. Hijrah Kali Ini
1430 Hijriyyah bukan Hijrah sebarangan.
Kali ini, saya dan keluarga berhijrah besar-besaran dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan.
Muharram 1430 ini, Muhammad Saiful Islam menjejakkan kaki ke hari pertama persekolahannya di Darjah 1. Terasa baru lagi saya memotong tali pusatnya daripada Ummu Saif di subuh hening 6 Julai 2002 di Belfast. Hari ini Muhammad Saiful Islam sudah darjah 1.
Saya pula yang jadi terlebih semangat.
Bersama sakit-sakit badan mengemas rumah dan berkejar ke sana-sini menguruskan Isnin pertama Januari 2009, saya berjaga malam menjahit seluar sekolah Saif yang labuh. Beg dan kasut disiapkan sebaik mungkin. Selepas rebah keletihan, Ummu Saif pula bangun malam menampalkan lencana sekolah Saif dan menyiapkan lagi benda-benda ‘kecil’ yang saya terlepas pandang.
Gosok baju
Awal-awal pagi lagi saya sudah kejutkan Saif.
Bersemangat dia bangun pagi.
Selepas solat Subuh, kami segera keluar meninggalkan rumah. Kami gagal memastikan perpindahan rumah disempurnakan sebelum buka sekolah. Maka pagi ini, kami sekeluarga bergegas menghantar Naurah dan Imad ke Nursery, kemudian memandu jauh membelah lautan kereta dari Cheras ke Ampang untuk memastikan Saif tidak lewat ke sekolah pada hari pertamanya.
Naurah sudah memuncung.
Sangkanya dia juga akan ke ’sekolah baru’. Namun disebabkan oleh diri kami yang masih tersangkut di Cheras, Naurah dan Imad terpaksa ditinggalkan di nursery mereka, seperti biasa.
Alhamdulillah, ijtihad saya untuk menggunakan laluan Pandan Indah dan tidak Jalan Ampang, banyak memudahkan perjalanan kami. Saif tiba tepat pada masanya.
Sebak hati saya melepaskan Saif ke perhimpunan pagi. Seronok melihat ustaz dan ustazah sekolah yang begitu ceria lagi bersemangat menyambut murid-murid baru di sekolah. Tahniah juga kepada pihak sekolah kerana tahun 2009, mereka menerima jumlah pelajar teramai di dalam sejarah sekolah. Murid darjah 1 mencecah lebih 100 orang dan Saif ceria menjadi salah seorang daripada mereka.
Muhammad Saiful Islam bergaya dengan uniform sekolah dan beg barunya. Jam 6:20 pagi
Naurah dan Imad tak sempat mandi. Semua kelam kabut mengejar masa
Perhimpunan Pagi pertama di Dataran sekolah
Selesai pengagihan kelas dan Saif masuk ke 1 Omar, saya dan Ummu Saif bergegas balik ke rumah di Cheras untuk mengejar Subalipack yang sudah pun tiba di kondominium kami.
Saya rasa gementar juga apabila wajah pekerja-pekerja Subalipack yang semacam terkejut dan tercekik menelan air liur tatkala melihat barangan di rumah kami yang Masya Allah… terutamanya buku! Mereka mencadangkan agar satu hari diperuntukkan untuk mengemas barang dan kami berpindah pada hari Selasa. Namun saya tidak dapat menunaikan permintaan tersebut kerana tuan rumah sudah mendesak kami untuk segera keluar memandangkan ada potential tenant yang sudah berbaris.
Kitab-kitab dilabel sebagai QURAN untuk dijaga kehormatannya
Sebahagian kecil daripada barang-barang yang dibungkus. 8 jam diperlukan untuk pembungkusan berkenaan
Saya kasihan melihat Ummu Saif yang keletihan.
Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada pekerja Subalipack yang sangat cekap mengemas rumah kami.
Setelah tujuh tahun kami menyewa, akhirnya saya sekeluarga berpindah ke rumah kami sendiri. Rumah yang sangat benar pada mengungkapkan maksud “memaksa diri untuk berubah”. Usia semakin meningkat, hartanah terus naik melonjak-lonjak. Biar pun gerun dan berdebar dengan ‘komitmen’ besar ini, kami paksa diri ini untuk mencapai upaya dan Alhamdulillah Muharram 1430 bersamaan Januari 2009, kami berhijrah masuk ke rumah sendiri.
Jam 2:45 petang kami bergegas berkejar ke sekolah semula di Ampang untuk mengambil Muhammad Saiful Islam. Mujurlah jalan raya tidak sesak. Bagus juga kerana sekolah yang kami pilih ini menggabungkan kurikulum kebangsaan dan agama, maka jadual persekolahan tamat lewat sedikit iaitu pada jam 3 petang.
“Apa Abi lambat…. penat Yop tunggu tau!” kata Saiful Islam dengan muka yang monyok di kaki lima sekolah.
Sebaik sahaja masuk ke kereta, Yop sibuk bercerita tentang pengalaman hari pertamanya di sekolah. Ada kawan yang berak dalam seluar, jumpa kawan baru, belajar membeli makanan di kantin sekolah dan solat zohor berjemaah sebelum bersurai.
Apa yang pasti, tiada sekelumit pun rasa gementar atau takut di hati anak sulung kami ini. Untuk itu, saya pulangkan segala puji-pujian kepada Allah jua. Sedar-sedar, Saiful Islam sudah pun tertidur keletihan di dalam kereta.
Keletihan! Tetapi tali pinggang belakang jangan lupa pakai
Tepat jam 6 petang, proses mengemas barang dan memindahkan semuanya ke lori selesai. Dua buah lori 3 tan digunakan oleh Subalipack untuk mengangkut barang-barang kami.
Naurah dan Imad juga diambil dari nursery mereka. Kami melambaikan tangan ke Prisma Cheras Condominium yang penuh dengan 1001 kenangan, berhijrah ke Baiti Jannati (ameen) kami di Ampang.
Dalam suasana senja, proses memunggah barang dari lori ke rumah dilakukan. Beberapa orang jiran yang juga baru berpindah, datang bertandang dan bertukar-tukar salam. Gembira hati kami sekeluarga mendapat sekurang-kurangnya beberapa orang jiran yang ramah dan mesra. Lucu juga, apabila ada jiran yang cuba mencantumkan nama saya, nama anak-anak dan nama isteri dan akhirnya, “ooo, ni Ustaz Hasrizal yang tulis buku Aku Terima Nikahnya tu ya!”
Aduh… merah padam muka saya.
Sudahlah pekerja Subalipack pun ada yang membacanya.
Jiran pun sama juga!
Saiful Islam, Naurah dan Imaduddin berlari-lari di sepanjang jalan di hadapan rumah kami yang masih lengang. Seronok juga mereka kerana mendapat kawan baru di hadapan rumah.
Sejurus sebelum Isyak, pasukan Subalipack selesai memunggah kedua-dua buah lori dan memasang kembali katil dan almari kami. Sesungguhnya menggeletar tangan saya membayar bilnya yang mencecah lebih RM3000! Akan tetapi, memandangkan buku dan barang kami yang menyebabkan jiran tetangga menggelengkan kepala, ditambah pula dengan Ummu Saif yang sedang mengandung anak keempat kami pada trimester pertama, saya yakin ini adalah keputusan terbaik kami.
Saya berikan 5 bintang kepada keseluruhan soalan kaji selidik Subalipack kerana berjaya memberikan perkhidmatan yang sungguh baik lagi bermakna.
Agak sedih kerana ada juga bahagian rumah yang bocor. Rahsia umum yang diketahui semua, PKNS amat cincai dalam membina rumah di dalam projek mereka. Malah saya yakin, adalah lebih baik saya usahakan sendiri mencari pihak untuk membaiki kebocoran yang berlaku, kerana jaminan perkhidmatan selepas jualan, sedia diketahui akan masalah-masalahnya. Beberapa kerosakan pada bumbung hadapan sudah dilaporkan.
Mempertahankan status bumiputera PKNS rupa-rupanya sangat memberikan kesan kepada nilai kompetensi. Penyakit zon selesa!
Penat…. belum pernah penat sepenat ini
Namun, setelah selesai saya dan Ummu Saif menggosok baju anak-anak dan berjaya menemui teko untuk membancuh hot chocolate, jam 1 pagi saya ucapkan tahniah dengan penuh kasih sayang dan kesyukuran kepada Ummu Saif, atas satu lagi hijrah kami dalam melayari bahtera rumahtangga yang dibina.
Tahun 1430 / 2009 ini adalah tahun melipatgandakan kerja atas pertambahan tanggungjawab dan komitmen. Syukurlah kerana kerja menjadi salah satu cabang perjuangan. Mudah-mudahan bertambahnya kerja, bertambah jua maksud ERTI HIDUP PADA MEMBERI…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang Selangor
p/s: foto-foto belum dapat disertakan memandangkan connection Celcom Broadband menggunakan telefon bimbit saya agak lemah
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur